Perkembangan Ilmu 'Aqidah

on Saturday 7 May 2011
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

'Aqidah di zaman Rasulullah s.a.w (622-623Masihi)

Kepercayaan umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w sangatlah kuat dan teguh, hanya dengan beberapa ayat daripada Al-Quran seperti ayat-ayat Surah Al-Ikhlas sudah cukup untuk menjadi pegangan dan i'tiqad mereka. Pada masa itu tidak pernah berlaku sebarang pertelingkahan dan perselisihan mengenai 'aqidah dan sekiranya berlaku sesuatu kemusykilan mereka terus berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan baginda dapat menghapuskan segala keraguan itu sehingga mereka merasa sangat puas hati. Oleh yang demikian, ilmu tauhid belum disusun dan berkembang lagi di zaman Rasulullah s.a.w.

'Aqidah di zaman Khulafa' Ar-Rasyidin (632-661Masihi)

Keadaan kepercayaan umat Islam di zaman khulafa' Ar-Rasyidin tidaklah berbeza sangat dengan zaman Rasulullah s.a.w, cuma timbul sedikit perselisihan di sekitar hukum kecil2lan sahaja. (bukan dasar 'aqidah Islam), walau bagaimanapun mereka terus berunding dan kembali kepada kitab Allah dan sunnah Rasul, dan sekiranya tidak didapati daripada Al-Quran dan Al-Hadith mereka membuat perbandingan (menggunakan qias) dengan apa-apa yang telah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w.. Tegasnya di zaman khulafa ar-rasyidin juga tidak timbul pembicaraan tertentu mengenai ilmu 'aqidah ini.

'Aqidah di zaman Umaiyah (661-750Masihi)

Semenjak berlaku pembunuhan ke atas Saidina Usma bin Affan, maka mulalah timbul perpecahan dikalangan umat islam dan lahirlah golongan-golongan yang dinamakan Khawarij, Syiah dan lain-lain lagi. Walaupun pada asalnya perselisihan mereka itu mengenai politik dan jawatan khalifah tetapi akhirnya menjalar kepada perselisihan hukum-hukum dan 'aqidah islam pula dengan sebab itu pada akhir pemerintahan kerajaan Umaiyah lahirlah golongan-golongan yang membawa pegangan yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Maka dengan itu, lahirlah pula tokoh-tokoh Islam yang bangkit menolak kepercayaan-kepercayaan yang salah pada masa itu, dan menegakkan kepercayaan-kepercayaan yang sebenar menurut ajaran Islam dan mulalah timbul perbicaraan ilmu 'aqidah al-islam ini secara khusus.

'Aqidah di zaman kerajaan Abbasiyah (750-1258Masihi)

Oleh kerana pemerintahan Islam di zaman kerajaan Abbasiyah bertambah luas iaitu meliputi wilayah2 Parsi dan Rom, serta ramai pula orang-orang 'ajam (bukan arab) yang memeluk Islam, maka umat Islam terpaksa menghadapi berbagai-bagai kepercayaan yang salah yang datang daripada bekas-bekas penganut agama Majusi, Brahman dan lain-lain lagi.

Dengan yang demikian lahirlah tokoh-tokoh Islam dalam ilmu 'aqidah dalam menentang 'aqidah-'aqidah yang salah itu disamping menegakkan 'aqidah Islam yang sebenar. Mereka membawa keterangan-keterangan bukan sahaja daripada Al-Quran dan Al-Hadith malah daripada dalil-dalil akal/logik.

Perkembangan ilmu 'aqidah di zaman ini sangat pesat sekali, kitab-kitab yang dikarang oleh para alim ulama' Islam bertambah banyak dan terus maju di dalam berbagai bidang dan bahasa kerana ilmu itu telahpun diwajibkan di waktu permulaan Islam lagi. Kemudian dipelajari dan dikaji oleh umat Islam dari semasa ke semasa dan dianggap satu cabang ilmu yang terpenting yang dipelajari secara khusus oleh umat Islam sehingga diwujudkan fakulti usuluddin di universiti-universiti Islam, malah ilmu ini menjadi fardhu 'ain ke atas orang-orang Islam mempelajarinya dan mengetahuinya.

Mazhab-mazhab dalam ilmu Al-'aqaed

Ada berbagai-bagai aliran mazhab yang lahir dalam ilmu ini diantaranya ialah :-
1) Mazhab Qadariyah
2) Mazhab jabariyah
3) Mazhab Murjiah
4) Mazhab Mu'tazilah
5) Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaa'ah

Mazhab Qadariyah
Mazhab ini muncul di Basrah berikutan timbulnya perbincangan hebat orang Islam mengenai masalah Qadha dan Qadar. Nama mazhab ini diambil daripada perkataan "al-qadar" kerana mereka mengatakan segala kerja manusia itu terjadi dengan kehendak dan kuasanya sendiri kerana Allah telah memberi peruntukkan kepadanya. Di antara pendapat mazhab ini ialah :-

1. Manusia itu bebas melakukan sesuatu menurut kehendak dan kemahuaannya sendiri.
2. Mereka seterusnya percaya bahawa Tuhan tidak menentukan apa-apa takdir kepada manusia.

Pengasas mazhab ini bernama Ma'bad bin Khalid Al-Jahni dan Ghayalan Al-Damshiqi. Dikatakan bahawa yang mula-mula sekali memperkatakan Qadar ini ialah seorang yang beragama kristian yang memeluk Islam tetapi kemudiannya masuk kristian semula dan dari fahamannya itulah diambil oleh Ma'bad dan Ghayalan itu.

Mazhab Jabariyah
Mazhab ini muncul di kufah pada zaman Kerajaan Bani Umaiyah yang diketuai oleh seorang yang berasal dari Khurasan bernama Jahmu bin Safuan. Nama jabariyah ini diambil daripada perkataan "al-jabru" ertinya paksa. Diantara pendapat mereka ialah :-

1. Manusia itu digagahi dan dikuasai sepenuhnya oleh Allah.
2. Manusia tidak mempunyai apa-apa usaha atau ikhtiar dalam melakukan perbuatannya.
3. Manusia diibaratkan seperti kapas di udara yang boleh ditiup angin ke mana-mana sahaja.

Pegangan mereka didasarkan kepada umum, firman Allah s.w.t bermaksud : Allah juga yang menjadikan segala sesuatu. (surah az-zumar:62)

Alasan mereka juga ialah bahawa Allah itu mempunyai pengetahuan yang meliputi sesuatu dan segala kemahuannya adalah lulus (tepat). Di antara fahaman bagi mazhab ini ialah :

1. Syurga dan Neraka tidak kekal, kerana tidak ada sesuatu yang kekal selain daripada Allah. Pada fahaman mereka maksud kekal seperti yang tersebut di dalam al-quran itu bererti lama sahaja.
2. Kitab Al-Quran itu baru, bukan qadim kerana ia boleh dituturkan dan ditulis oleh manusia.
3. Allah tidak mempunyai sifat selain daripada zat-Nya.
4. Allah tidak boleh dilihat di Akhirat kelak berdasarkan firmanNya bermaksud : Zat Allah tidak boleh dicapai oleh penglihatan-penglihatan sedangkan Allah boleh mencapai segala penglihatannya. (surah al-an'am:103)

Mazhab Murjiah
Kumpulan ini berasal dari golongan politik tetapi telah meninggalkan bahagian itu dan mengambil sikap berkecuali terutamanya di dalam masalah perselisihan umat Islam mengenai jawatan khalifah yang berlaku di antara puak Khawarij dan Syiah.

Perkataan Murjiah itu diambil daripada perkataan "أرجاء" yang bererti menangguhkan, mereka dinamakan Murjiah kerana menangguhkan persoalan dan pertelingkahan antara umat Islam yang menumpahkan darah itu hingga hari Qiamat dan menyerahkan perkara itu kepada Allah s.w.t.

Pada peringkat permulaan fahaman ini lahir dikalangan para sahabat termasuk Abdullah bin Umar, Said bin Jabir dan lain-lainnya. Kemudian diikuti oleh tabi'e termasuk Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf serta ahli-ahli hadith yang lain.

Di antara persoalan yang bermain di dalam mazhab ini ialah masalah iman iaitu mereka mengatakan iman itu ialah mengenal Allah dan Rasul, sesiapa yang mengaku tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w itu pesuruh-Nya, maka sudahlah ia dikira beriman.

Di samping itu ada diantara orang-orang Murjiah ini melampaui batas, mereka berani mengatakan iman itu ialah hanya i'tiqad di hati sahaja. Seseorang yang mengaku dirinya kafir secara terang-terang atau menyembah berhala dan mati dalam keadaan itu dikira Mu'min juga jika hatinya masih beriman dan ia akan menjadi ahli Syurga di Akhirat kelak.

wallahua'lam...bersambung...

0 comments:

Post a Comment