Mu'tazilah dan Ahli As-Sunnah Wal Jama'ah

on Sunday 8 May 2011
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Mu'tazilah

Iaitu satu mazhab i'tiqad yang berpegang kuat kepada dasar kebebasan berfikir dan cuba melepaskan umat Islam daripada belenggu taklid buta. Pengasas mazhab ini bernama Wasil bin 'Ata' (80-180H). Pada mulanya beliau berguru kepada Hassan Al-Basri (23-110H) kemudian menyisihkan diri lalu berpisah daripada gurunya kerana tidak bersetuju dengan pendapat gurunya dalam masalah orang yang melakukan dosa besar. Maka dikisahkan sebagaimana berikut:-

Pada suatu hari ketika Imam Hassan Al-Basri sedang mengajar di masjid, tiba-tiba seorang pendengar bertanya : Apakah hukum orang yang melakukan dosa besar dan mati sebelum ia bertaubat? Belum pun sempat guru itu memberi jawapan, Wasil terlebih dahulu berkata : Bahawa orang itu bukan Mu'min dan dan bukan kafir. Tetapi di tengah-tengah diantara keduanya. Sedangkan gurunya berpendapat bawah manusia itu ada 3 jenis iaitu mu'min, kafir dan munafik.

Setelah berlaku perselisihan faham tersebut Imam Hassan Al-Basri menghalau muridnya itu dan tidak membenarkannya mengikuti pengajaran lagi sambil berkata Wasil telah mengasingkan diri (اعتزال) daripada kita, dan daripada perkataan inilah diambil perkataan Mu'tazilah yang menjadi nama golongan ini. Selepas itu Wasil terus membuat pengajaran sendiri dan mendapat pengikut yang ramai pula.

Fahaman Mu'tazilah

Diantara fahaman Mu'tazilah ialah :-

1. Tuhan tidak bersifat dengan mana-mana sifat bahkan segala-galanya dengan zat-Nya sahaja.
2. Tuhan itu bersifat adil dan mesti membalas baik kepada orang yang membuat baik demikian juga sebaliknya.
3. Manusia bebas melakukan sesuatu menurut kehendaknya.
4. Tuhan wajib membuat sesuatu yang baik dan yang lebih baik (ُالصالحُ والاصلح).
5. Al-Quran itu baharu dan bukan qadim.
6. Tuhan tidak dapat dilihat oleh manusia baik di dunia ini mahupun di akhirat kelak. Mereka berpegang kepada :-

Firman Allah s.w.t bermaksud : (Nabi Musa memohon kepada Tuhan) wahai Tuhanku!Perlihatkanlah zat engkau kepada aku supaya aku dapat melihat Engkau, jawab Allah, "Engkau tidak sekali-kali dapat melihat Aku". (surah al-a'raf : 143)

Firman Allah s.w.t bermaksud : Zat Allah itu tidak boleh dicapai oleh penglihatan sedangkan Allah boleh mencapai segala penglihatan, dan ia Maha Lembut dan Maha Pakar. (surah al-an'am : 103)

Mu'tazilah merupakan mazhab yang banyak sekali menggunakan hujah-hujah akal dalam pegangan i'tiqad. Mereka menggunakan falsafah Greek sebagai bahan hujah mereka. Mazhab ini mencapai kedudukan yang tinggi pada masa khalifah al-makmum dari keluarga Abbasiyah. Tetapi kemudian menjadi lemah pada masa Khalifah Al-Muktasim bin Harun Ar-Rasyid yang juga dari keluarga Abbasiyah. Seterusnya menjadi lebih merosot lagi setelah lahir dua orang tokoh terkemuka iaitu Abu Hassan Al-Asy'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi, daripada mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kedua-dua tokoh mazhab ini semakin lama semakin berpengaruh sehingga dapat mengatasi mazhab-mazhab lain dan menjadi pegangan kebanyakkan umat Islam hingga sekarang.

Jasa Mu'tazilah

Mazhab Mu'tazilah adalah yang mula-mula mencipta "Ilmu Al-Kalam" dalam Islam. Merekalah yang pertama menggunakan senjata musuh dalam mempertahankan kesucian 'aqidah Islam dengan mengambil imu-ilmu falsafah dan mantiq daripada orang-orang Yahudi, Nasrani dan Majusi. Keadaan ini berlaku kira-kira awal kurun kedua Hijrah. Wasil bersama raka-rakannya telah bergiat menentang hujah-hujah musuh dengan menggunakan senjata mereka itu sendiri untuk menikam balas. Tegasnya jasa mu'tazilah sangat besar dalam mempertahankan kesucian Islam di abad yang silam.

Mazhab Ahli As-Sunnah Wal Jama'ah

Iaitu satu pegangan orang-orang Islam yang muncul untuk menentang golongan yang telah lahir sebelumnya. Seperti golongan kawarij, syiah dan lain-lainnya. Golongan Ahli As-Sunnah ini diketuai oleh dua orang tokoh ilmu 'aqaed iaitu Abu Hassan Al-Asy'ari (260-324H) bertempat di Basrah dan Abu Mansur Al-Maturidi meninggal tahun (333H) bertempat di daerah Samarkand.

Mazhab ini berpendapat bawah Allah menjadikan kuasa dan kemahuan serta perbuatan manusia tetapi berlakunya sesuatu itu menurut usaha ikhtiar manusia sendiri, serta berkebetulan dengan keizinan Allah kepadanya. Mereka berpegang kepada dalil berikut :-

Firman Allah s.w.t bermaksud : "Dan tidak mereka itu berkehendak melainkan Allah menghendakinya." (surah al-insan : 30)

Maksud ayat di atas menunjukkan bahawa manusia mempunyai kehendak dan kuasa memilih sesuatu perkara yang telah ditentukan oleh Allah. Seperti kalau hendak menghilangkan dahaga, ia akan mencari air untuk diminum, kalau hendak mengatasi lapar ia akan mencari makanan untuk dimakan dan seterusnya.

Allah jua yang telah menentukan undang-undang sebab dan akibat bagi makhluk-Nya. (سٌنَةُ اللهِ في خلقِهِ) seperti api membakar, pisau melukakan dan sebagainya. Dialah yang telah menjadikan usaha ikhtiar kepada manusia. Dengan sebab itu mereka bertanggungjawab di atas mereka dalam sempadan kuasa yang diberikan oleh Allah, tegasnya manusia sendiri yang menentukan ke arah manakah yang mereka kehendaki. Walau bagaimanapun tanggungjawab itu tidak terkeluar dari takluk undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah pada azali lagi.

fahaman Ahli As-Sunnah Wal Jama'ah

1. Perbuatan hamba : mazhab ini berpendapat bahawa Allah telah menjadikan perbuatan hamba yang berbentuk usaha ikhtiar baginya. Dengan itu mereka bebas menggunakan sama ada hendak membuat sesuatu atau tidak. Dan mereka ditaklifkan mematuhi hukum-hukum yang diwajibkan di atasnya.
2. Sifat-sifat Allah : Mazhab ini berpendapat bawaha Allah itu bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya seperti Berkuasa, Berkemahuan, Berpengetahuan, dan lain-lainnya. Sifat-sifat itu berada pada Zat Allah pada azali lagi. Maka, dengan sifat kuasa itulah Ia mengada atau meniadakan sesuatu yang mukminat dengan kemahuan-Nya pula ia menentukan sesuatu perkara yang mukminat, dan dengan ilmu-Nya terdedah segala sesuatu kepada-Nya dan seterusnya.
3. Mengenai Al-Quran : Mazhab ini berpendapat bawah Al-Quran itu kalam Allah yang qadim dan azali (bukan baharu) kerana kandungan isi dan maksudnya itu adalah dari kalam Allah yang qadim yang tidak berhuruf, bersuara dan bersusun. Manakala tulisannya, bacaannya, dan bunyinya itu adalah baharu yang boleh ditulis, dibaca, dan disebut. Walau bagaimanapun secara umumnya wajib dikatakan bahawa Al-Quran yang tersusun 30juz' itu adalah kalam Allah yang qadim lagi azali.
4. Melihat Allah : Mengikut fahaman mazhab ini bahawa melihat Allah bagi orang-orang mu'min di akhirat kelak adalah harus pada akal dan wajib pada hukum syara', kerana Allah itu zat yang maujud dan tiap-tiap yang maujud itu boleh dilihat. Maka, dengan sebab itu Allah Taa'la boleh dilihat tetapi bukan di alam dunia ini.

Antara dalil-dalilnya ialah :-
a) Hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah berkata : suatu masa Rasulullah s.a.w melihat bulan penuh purnama lalu Baginda bersabda :
(إنكم سَتَرونَ رَبكم عيانا كما ترون هذا القمر لا تضامون في رويته)
Maksudnya : Bahawasanya kamu akan melihat Tuhan kamu dengan terang sebagaimana kamu lihat bulan purnama ini, kamu tidak ragu-ragu lagi melihatnya.

b) Firman Allah s.w.t bermaksud : Beberapa muka pada masa itu berpandangan-pandangan melihat kepada Tuhan. (surah al-qiamat : 22-23)

5. Dosa besar : Mazhab ini berpendapat orang-orang mu'min yang melakukan dosa besar itu belum gugur imannya dan mereka masih dianggap Mu'min, kerana iman itu ialah amalan hato, seluruh umat Islam bersepakat bawah orang yang melakukan dosa besar wajib disembahyangkan jenazahnya sedangkan orang-orang yang bukan Mu'min haram disembahyangkan ke atasnya.

Wallahua'lam. 

2 comments:

Post a Comment